Sunday, 10 December 2017

BAHAN BANTU MENGAJAR

BAHAN BANTU MENGAJAR (BBM)

PENGENALAN

Bahan Bantu Mengajar ialah kelengkapan yang digunakan oleh guru untuk membantu dalam menyampaikan pengajaran kepada murid ketika di dalam kelas. Peralatan mengajar ini bukanlah terhad kepada buku-buku teks, papan hitam, kapur dan gambar-gambar sahaja, tetapi ia merangkumi segala benda yang digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan semua pancaindera seperti melihat, mendengar, rasa, hidu dan sebagainya, merangkumi apa sahaja yang dapat dialami oleh murid-murid.
Menurut, Hanapiah Sudin (1979) dan Khairiah Ahmad (1980-13) bahan bantu mengajar dapat dikelaskan kepada dua iaitu “ software dan hardware”. Manakala, Ngui Kuen Sang (1981) pula berkata, mengenai bahan bantu mengajar (BBM) kita tidak dapat memberi takrif yang tetap walaupun pada keseluruhannya ramai pendidik bersetuju bahawa penggunaan BBM dalam situasi pengajaran dan pembelajaran adalah pengalaman yang melibatkan penggunaan penglihatan dan pandangan seseorang”. Menurut, Thomas, R. Murray, Swartout, dan Sherwin G (1963) hanya bahan bantu mengajar yang mempunyai komunikatif tinggi yang mampu membantu pelajar memperolehi pengalaman belajar yang berfaedah bagi mengembangkan sikap ilmiah dan sikap sosial, kemantapan emosi dan daya penghargaan mereka.
Oleh itu, pembinaan bahan bantu mengajar memerlukan guru yang kreatif dan inovatif, khususnya dalam mengajar kemahiran asas 3M (membaca, menulis dan mengira. Pembinaan BBM seharusnya diasaskan kepada pengetahuan dan kemahiran sedia murid. BBM yang berkesan mempunyai ciri-ciri yang fleksibel dan mudah digunakan dalam sebarang situasi dalam bilik darjah. Sungguhpun begitu BBM yang berkesan akan menjadikan pembelajaran lebih produktif dan mempercepatkan kadar pembelajaran serta menjadikan pengajaran lebih bersifat individu iaitu berasaskan keupayaan diri.
Selain itu, bahan bantu mengajar (BBM) bukanlah sesuatu yang tersisih sifatnya daripada proses pengajaran dan pembelajaran, ia merupakan alat yang sangat berguna kepada guru semasa mengajar. Pembelajaran dengan menggunakan bahan bantu mengajar (BBM) dapat memastikan pelajar mengikuti serta  dapat memberikan pelajar kefahaman yang berkesan dan juga dapat menarik minat mereka terhadap mata pelajaran yang diajarkan. Secara dasarnya, bahan bantu mengajar (BBM) adalah alat yang dapat membantu seseorang guru dalam proses pengajaran.
Penggunaan BBM yang berkesan berjaya menarik minat murid dan mengekalkan situasi pengajaran yang lebih menarik. BBM yang menggunakan pelbagai deria akan memberikan kesan dalam menerangkan sesuatu konsep kepada pelajar, khususnya konsep yang abstrak. Penggunaan multimedia yang terdiri daripala slaid, video dan audio yang menarik berjaya mendorong pembelajaran secara sendirian atau berkumpulan. Jika BBM digunakan secara betul dan sesuai dengan pengalaman murid objektif-objektif berikut akan tercapai.
Seterusnya, kepelbagaian Bahan Bantu Mengajar (BBM) dapat mempelbagaikan kegiatan atau pengalaman murid-murid belajar mengikut peringkat atau kebolehannya daripada mudah ke sukar, seperti pengalaman langsung ke pengalaman abstrak, pengalamaan rekaan, pengalaman dramatized, demontrasi, pameran, gambar-gambar, bahan rakaman, filem-filem dan sebagainya. Mutu bahan bantu mengajar pula perlu bergantung kepada pembinaan dan pemilihannya sebagai bahan pengajaran. Ia harus dipilih sesuai dengan bahan yang hendak kita ajarkan dan sesuai dengan murid-murid yang terlibat. Pembinaannya biarlah mengikut lunas-lunas yang tertentu seperti jelas (bunyi dan rupa sebutan), intonasi dan nada, keharmonian warna (gambar) kesesuaian saiz, bentuk huruf atau carta dan keteguhannya.
Disamping itu, bahan itu juga harus mudah dibuat, diperbuat dari bahan-bahan yang murah dan boleh didapati secara percuma seperti di jabatan-jabatan kerajaan, pejabat pos, pusat beli belah, pihak swasta dan sebagainya. Kecekapan seseorang guru menggunakan BBM adalah penting kerana kegagalannya akan menyebabkan pengajaran menjadi tidak berkesan atau merosakkan pelajaran itu seluruhnya. Masa mengendalikan BBM dan tidak mengalami sebarang kesulitan apabila tiba masa menggunakannya. BBM perlu sentiasa berada dalam keadaan baik, boleh beroperasi dan menepati fungsinya. Guru harus pandai memilih butir-butir penting yang perlu ditulis, supaya jelas, terang, kemas dan teratur.
Antara faktor yang harus dilibatkan dalam proses pembinaan bahan bantu mengajar ialah Ketahanan. Alat dan bahan yang dibina atau dipilih itu haruslah sesuai dengan pelajar supaya alat atau bahan tersebut boleh dipakai dalam jangka masa yang panjang ataupun boleh digunakan untuk murid-murid belajar sendiri, kos bahan yang dibina juga hendaklah sesuai dengan kedudukan kewangan sekolah. Guru juga harus memastikan sama ada alat yang diipilih itu digunakan di bilik lain atau tidak, ataupun adakah alat tersebut akan diedarkan dari satu kumpulan kepada kumpulan yang lain.


JENIS-JENIS BAHAN BANTU MENGAJAR
Alatan mengajar ini tidak terhad kepada buku teks, papan tulis dan gambar-gambar sahaja tetapi juga merangkumi segala benda yang digunakan dalam pelajaran yang dapat dilihat, didengar, dipegang, dibaca, dikisahkan, dirasai, dihidu, digunakan dan sebagainya. Alat mengajar merupakan apa saja yang dialami oleh murid (kamaruddin hj. Hussin, 1986). Atan long (1981) membahagikan bahan bantu mengajar (BBM) kepada tiga kumpulan, iaitu:
  1. Alat pendengaran,
  2. Alat pandangan
  3. Alat pandang dengar.
Noraziah abdul hamid (1981) menggolongkan alat  itu kepada dua kumpulan, iaitu:-
  1. Media elektronik
  2. Media bukan elektronik,
Hanapiah sudin (1979) menggolongkan kepada dua, iaitu:
  1. Bahan- bahan software
  2. Bahan-bahan hardware.
Menurut Atan long (1982) lagi bahan bantu mengajar (BBM) terdiri daripada berbagai-bagai bahan. Sesuatu bahan dapat disampaikan dengan berbagai-bagat cara. Umpamanya, sesuatu bahan itu mungkin diterbitkan dalam bentuk buku, dalam bentuk carta atau diletak pada slaid dan dipancarkan ke layar.
Oleh itu, alat-alat penyampaiannya dinamakan” bahan bantu mengajar (BBM) berdasarkan pendapat di atas, dapatlah dibahagikan bahan bantu mengajar (BBM) ini kepada tiga peringkat, iaitu (kamaruddin hj. Hussin,1987):
  1. Bahan-bahan yang menggunakan media elektronik seperti filem pelajaran, filem jalur- slaid, projektor (overhead), pita video, radio, pita rakaman, piring hitam dan lain-lain
  2. Bahan-bahan yang tidak menggunakan media elektronik seperti suara, buku, gambar carta model, surat khabar, papan tulis, kad imbasan dan lain-lain.
  3. Bahan-bahan yang bercorak pengalaman seperti lakonan, pantomim, lawatan, projek pameran dan bahan-bahan dari alam sekitar.





KEBAIKAN BAHAN BANTU MENGAJAR
Antara kebaikan bahan bantu mengajar mengikut Charles F. Hoban, James D. Finn dan Edgar Dale (1964 ) ialah menyediakan satu asas yang kuat untuk sesuatu konsep pengajaran, sebagai daya penarik penting kepada seseorang pelajar ketika belajar dan dapat menghasilkan pembelajaran yang lebih kekal. Penggunaan bahan bantuan mengajar yang fleksibel membolehkan para pelajar memhami sesuatu topik yang diajar dengan lebih mendalam dalam masa yang singkat. Bahan bantuan mengajar juga membantu  para pelajar memahami sesuatu topik disamping meningkatkan daya pengetahuan pelajar-pelajar. Menurut Siti Hawa Munji (1990) menjelaskan bahawa semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlaku, teknik dan kaedahnya mestilah mempunyai aktiviti-aktiviti yang meransang murid, minat serta kecenderungan terhadap bahan bantu mengajar yang disediakan. Penglibatan murid seratus peratus di dalam aktiviti-aktiviti semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlansung membantu pelajar memahami isi pelajaran dengan lebih baik dan pelajar merasa lebih yakin untuk menghadapi pengajaran.
Ingatan pelajar terhadap sesuatu topik juga akan lebih kekal. Teknik penggunaan bahan bantuan mengajar akan membantu para pelajar untuk terus memberikan tumpuan sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran berlaku. Hal ini demikian kerana teknik ini memerlukan penglibatan aktif daripada para pelajar. Tumpuan yang diberikan sepenuhnya oleh para pelajar akan membantu pelajar itu sendiri untuk mengingat setiap maklumat-maklumat penting yang disampaikan oleh pengajar / pendidik. Penyataan ini disokong oleh Dale (1969) dalam Noor Azmi Osman (2000) yang menyatakan bahawa penggunaan bahan bantu mengajar oleh guru akan melibatkan lebih banyak deria pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran, dengan ini ingatan pelajar akan menjadi lebih kekal. 
Seterusnya, menurut Kamarudin Hj. Husin (1988) bahan bantu mengajar dapat memberi rangsangan dan minat murid-murid, menyediakan dasar kukuh untuk perkembangan kefahaman dan corak pemikiran dan mengurangkan gerak balas lisan yang tidak diperlukan daripada murid-murid. Dengan cara ini ia akan membekalkan dasar perkembangan pembelajaran dan menjadikan pembelajaran mereka lebih kekal. Penggunaan BBM juga membolehkan pembelajaran murid-murid menjadi lebih mendalam serta dapat menguatkan kefahaman dan mempercepatkan perkembangan perbendaharaan kata murid.
Disamping itu, BBM turut memberi pengalaman sebenar yang boleh merangsangkan aktiviti sendiri di kalangan pelajar. Pelajar dapat membina pemikiran yang berterusan, seperti melalui filem bergerak. Ia juga boleh membantu pemahaman dan perkembangan perbendaharaan kata pelajar . Memberi pengalaman baru yang tidak diperolehi dengan mudah oleh cara-cara lain sekaligus mendorong murid-murid untuk menyiasat dan dengan demikian dapat menambahkan lagi bacaan murid-murid. Selain, menjimatkan masa bahan bantu mengajar dapat mempelbagaikan kegiatan atau aktiviti-aktiviti murid-murid serta menyeronokkan murid-murid ketika proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas
Akhir sekali, antara rasional penggunaan bahan bantu mengajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran ini adalah untuk mengetengahkan konsep. Ini bermaksud pelajar dapat menyaksikan sendiri tunjuk cara dan bahan bantu mengajar yang digunakan oleh guru semasa menyampaikan pengajaran dalam bilik darjah. Pengajaran guru akan lebih mudah dengan penggunaan bahan bantu mengajar, lebih–lebih lagi bahan yang digunakan itu bersesuaian dengan tajuk pelajaran yang disampaikan oleh guru


KELEMAHAN BAHAN BANTU MENGAJAR

Bahan bantu mengajar (BBM) sememangnya tidak mempunyai kelemahan secara langsung, kerana tujuan utama bahan bantu mengajar (BBM) adalah untuk menutup sebahagian  kelemahan yang terdapat dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Namun terdapat juga beberapa kekurangan. Antaranya, kurangnya kemahiran guru dalam memilih jenis bahan bantu mengajar (BBM) yang sesuai dan pengaplikasian bahan bantu mengajar (BBM). Kesukaran dalam penyediaan bahan bantu mengajar (BBM) seperti kurangnya alat pelaksanaannya, bahan atau rujukan dalam menyediakan, keperluan masa yang mempengaruhi guru dalam menyediakan bahan bantu mengajar.
Oleh itu, untuk mengatasi segala kelemahan ini guru seharusnya lebih prihatin dan memahami kehendak pelajar yang diajarkan. Guru harus muhasabah dan meningkatkan segala kemahiran dalam proses pengajarannya terutama dalam menggunakan segala bahan bantu mengajar BBM, seperti kemahiran menggunakan Teknologi maklumat, dan Multimedia. Akhir sekali, guru mestilah merancang dengan sistematik setiap bahan bantu mengajar yang akan dihasilkan. Kesimpulannya, perkara yang harus diambil perhatian ialah bahan bantu mengajar adalah alat sokongan bukan sebagai pengganti guru sepenuhnya. Yang mengendalikannya adalah guru. Jika guru dapat merancang segala-galanya dengan baik, maka segala kelemahan akan dapat diatasi.


KEPENTINGAN BAHAN BANTU MENGAJAR
Menurut Kamaruddin Hj. Husin (1998), telah merumuskan bahawa bahan bantu mengajar  yang digunakan oleh guru dalam sesuatu pengajaran mempunyai kepentingannya yang tersendiri. Antara mengapa bahan bantu mengajar perlu digunakan adalah ia dapat memberi rangsangan dan mengekalkan minat pelajar. Hal ini kerana, bahan bantu mengajar yang berkualiti dan diselenggarakan dengan baik akan dapat meransangkan para pelajar untuk belajar. Justeru itu, para pelajar akan terangsang untuk mengetahui dengan lebih lanjut lagi mengenai isi pelajaran yang disampaikan oleh guru. Tambahan pula, jika bahan bantu mengajar itu baik, maka ia juga akan dapat mengekalkan minat para pelajar untuk terus memberikan tumpuan kepada pengajaran guru. Sebagai contoh, dalam pengajaran moral, bahan-bahan seperti cerita-cerita teladan atau rakaman video sebenar, mampu menarik perhatian kepada proses ingin tahu dalam diri para pelajar
Seterusnya, menurut Kamaruddin Hj. Husin (1998), bahan bantu mengajar dapat menyediakan dasar yang kukuh untuk perkembangan kefahaman dan corak pemikiran serta mengurangkan gerak balas lisan yang tidak diperlukan daripada pelajar-pelajar. Sehubungan itu, penggunaan bahan sokongan seperti gambar, komputer atau internet atau sebarang bahan sokongan akan memberikan kesan peneguhan. Sebagai contoh, apabila mereka melayari internet banyak maklumat yang akan diperolehi oleh pelajar, sekaligus penggunaan internet tersebut akan mengurangkan gerak balas lisan yang tidak perlu di kalangan para pelajar. Hal ini demikian mereka akan memberikan tumpuan kepada bahan-bahan atau maklumat yang sedang diterokai.
Selain itu, penggunaan bahan bantu mengajar juga perlu digunakan kerana ia dapat mempelbagaikan aktiviti dalam proses sesuatu pengajaran dan pembelajaran. Hal ini demikian, melalui bahan bantu yang sesuai, ia akan memberi peluang kepada pelajar untuk berinteraksi dengan bahan tersebut atau dalam kumpulan pembelajaran. Secara tidak langsung, ia  dapat mengurangkan kaedah chalk dan talk, yang kurang digemari oleh para pelajar. Sebagai contoh, apabila guru melakukan aktiviti dengan menggunakan bahan rangsangan gambar tunggal, guru meminta para pelajar memberikan idea berdasarkan gambar tersebut, dan meramalkan kemungkinan-kemungkinan yang lain.
Tambahan lagi, bahan bantu mengajar ini juga perlu digunakan agar  dapat memberikan pengalaman yang menyeronokkan kepada para pelajar berbanding kaedah konvesional yang lebih memfokuskan penggunaan kaedah syarahan dan buku teks. Hal ini demikian, dengan menggunakan bahan yang menarik seperti boneka, sesi pengajaran tersebut akan dapat memberikan keseronokan kepada para pelajar. Tambahan pula, mereka akan rasa terhibur dan terangsang lebih-lebih lagi sekiranya guru yang mengajar bijak memainkan peranan sebagai tukang cerita serta jalan cerita tersebut juga tidak membosankan dan sesuai dengan peringkat umur mereka. 


KESIMPULAN

Kesimpulannya, dapat dirumuskan bahawa bahan bantu mengajar sememangnya sangat berguna kepada para pelajar dan tenaga pengajar. Penggunaan bahan bantu mengajar dalam proses pembelajaran dan pengajaran sangat penting bagi menjadikan sesuatu pembelajaran itu berjalan dengan lancar, berkesan serta membentuk suatu kelainan dalam pengajaran yang mana ia dapat menghilangkan kebosanan dalam diri pelajar di samping menarik minat mereka untuk fokus terhadap sesi pembelajaran yang sedang berlangsung. Namun begitu, ia juga mempunyai beberapa kelemahan yang tersendiri. Walau bagaimanapun, kelemahan tersebut tidak memberi kesan yang dominan dan tidak menjejaskan kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran di kelas. Akhirnya, penggunaan bahan bantu mengajar (BBM) sangat penting untuk menarik minat pelajar dan memastikan sesi pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar sekali gus  mencapai objektif pengajaran yang disasarkan dalam kurikulum sekolah. 

0 comments:

Post a Comment