Sunday, 10 December 2017

TEKNIK MENERAP IMEJ DAN TEKS NUMERASI DALAM PENDIDIKAN KHAS

Teknik Yang Digunakan Dalam Menghasilkan Bahan Bantu Mengajar (BBM)

Teknik yang digunakan bagi menghasilkan Bahan Bantu Mengajar (BBM) ini ialah Teknik Menerap Imej. Melalui teknik ini pelajar akan dapat menjana imej mental berkaitan bahan yang dibacanya sebagai cara untuk mempertingkatkan kefahaman. Namun dalam menghasilkan bahan bantu mengajar berkaitan Pendidikan Khas. Teks yang digunakan mestilah tidak panjang kerana murid pendidikan khas mempunyai masalah dalam membaca teks yang panjang. Teks yang digunakan pula tidaklah melebihi 5 hingga 10 patah perkataan. Oleh itu, kami memilih untuk menggunakan imej dan teks pendek dalam Bahan Bantu Mengajar yang dihasilkan. Bahan bantu mengajar yang kami hasilkan adalah berkaitan Kemahiran Numerasi Dalam Pendidikan Khas. Kandungan bahan bantu mengajar ini ialah konsep operasi dan konsep nombor. Antara langkah pelaksanaan teknik menerap imej ini ialah:
Langkah 1 – Perkenalkan apa, mengapa dan bagaimana menggunakan menerap imej. Guru mesti menjelaskan menerap imej ialah strategi membaca yang membantu pelajar memahami apa yang mereka baca. Pelajar akan dimaklumkan untuk membuat gambaran mental mengenai apa yang sedang dibaca yang boleh membantu mereka mengingati apa yang dibaca. Guru tunjuk cara untuk melaksanakan menerap imej dan kemudian pelajar akan melakukannya sendiri. Melalui teknik ini guru akan memberikan pendedahan awal tentang numerasi kepada pelajar. Sebagai contoh, dalam pendidikan khas, pelajar akan didedahkan tentang nilai banyak dan sedikit serta bentuk yang lebih besar dan kecil. Dengan cara ini pelajar akan membuat gambaran mental tentang imej atau objek yang terdapat disekeliing mereka seperti yang digambarkan oleh guru.
Langkah 2 – Pilih teks berbentuk diskriptif yang panjangnya lebih kurang 100 patah perkataan and bacakan dengan lantang. Guru bacakannya dengan lantang. Di Dalam pendidikan khas, teks yang akan digunakan oleh guru adalah tidak panjang hanya sekadar 5 hingga 10 patah perkataan. Hal ini demikian kerana, pelajar pendidikan khas lemah dalam memahami teks yang panjang disebabkan tahap pembacaan dan pemahaman mereka adalah rendah berbanding pelajar biasa. Oleh itu, melalui teknik ini, bahan bantu mengajar yang kami sediakan ialah:
  1. Berkaitan dengan geometri - pelajar akan membuat gambaran tentang imej bentuk seperti bulat, segi tiga, segi empat dan sebagainya dengan cara guru menunjukkan teks. Contoh “ Saya bulat, Saya tidak mempunyai bucu, Saya ada di sekeliling manusia, Bola, matahai dan cincin adalah bentuk saya”. Melalui teks ini pelajar akan memuat gambaran mental tentang bentuk bulat.
  2. Berkaitan operasi tambah dan tolak- Kami menyediakan bahan bantu mengajar seperti bentuk tapak tangan. Pelajar akan belajar cara untuk melakukan operasi tambah dan tolak
  3. Berkaitan nombor - Pelajar akan ditunjukkan puzzle yang berbentuk nombor dalam metematik dari nombor 1 hingga nombor 5. Pelajar akan mengenal bentuk-bentuk nombor tersebut secara umum.
Seterusnya, Langkah 3 – Tunjuk cara penggunaan strategi kepada pelajar. Guru melakukan teknik berfikir dan bersuara dan kemudian berkongsi pengetahuan sedia ada serta hubungan peribadi beliau dengan teks dengan pelajar. Pekara ini dilakukan terutamanya apabila bertemu dengan perkataan yang menarik di dalam teks. Melalui teknik ini guru akan membaca teks yang disediakan dengan kuat dan lantang di hadapan pelajar. Seterusnya, guru akan berkongsi pengetahuan sedia ada seperti kaitan teks dengan keadaan sekeliling pelajar. Hal ini bertujuan untuk memudahkan pelajar memahami apa yang disampai oleh guru daripada teks tersebut. Bahan bantu mengajar yang kami hasilkan mengikut teknik ini ialah objek 3 dimensi. Antaranya, ialah bentuk bulat, segi tiga dan segi empat.
Langkah 4 – Membekalkan latihan berpandu. Mengajak pelajar untuk menghuraikan imej yang mereka gambarkan ketika membaca lantang berlansung. Galakkan pelajar untuk mencatat persamaan dan perbezaan imej-imej yang para pelajar kemukakan. Melalui teknik ini guru akan menyediakan kertas supaya pelajar dapat melakar dan menulis semula apa yang mereka gambarkan daripada apa yang guru sampaikan dari langkah pertama hingga langkah ketiga.
Langkah 5 – Sokongan ketika latihan kendiri. Pelajar akan bekerja secara pasangan untuk membaca senyap teks. Kemudian, pelajar secara bergilir diminta bercakap kepada pasangannya mengenai imej-imej yang mereka bina ketika membaca dan juga punca yang menyebabkan mereka membina imej-imej tersebut. Pasangan pelajar kemudiannya berbincang mengenai persamaan dan perbezaan imej mental yang mereka bina. Guru memberikan sokongan dan bantuan dari masa ke semasa supaya pelajar pada akhirnya dapat melaksanakan aktiviti tanpa bergantung kepada guru.
Langkah yang terakhir iaitu langkah 6 – Sediakan latihan kendiri terpilih. Melalui langkah ini guru akan menyediakan beberapa latihan kendiri kepada pelajar dengan cara yang kreatif seperti bermain permainan yang boleh menarik minat pelajar. Oleh itu, kami menyediakan beberapa jenis bahan bantu mengajar yang melibatkan aktiviti berkaitan kemahiran numerasi. Antaranya ialah:
1. Aktiviti operasi tambah - Guru akan menerangkan cara untuk melakukan aktiviti ini dengan menunjukkan kepada pelajar terlebih dahulu. Kemudian, pelajar akan melakukan aktiviti dengan memasukkan batang ais krim mengikut jumlah yang dipaparkan di bahan bantu mengajar tersebut. Setelah itu pelajar akan menambah kesemua bilangan batang ais krim tersebut. Aktiviti ini dapat membantu pelajar memahami operasi tambah dalam matematik.
2. Aktiviti clip card games – guru meyediakan kad yang mengandungi gambar. Pelajar akan memadankan nombor mengikut gambar yang mewakili nombor tersebut. Caranya, bagi aktiviti pertama, pelajar akan clip nombor yang betul pada setiap gambar manakala aktiviti kedua, meletakkan penyepit kayu pada jawapan yang betul
Akhir sekali, ketika pelajar sudah mahir menggunakan teknik menerap imej ini, guru perlulah menyediakan peluang untuk mereka menggunakan strategi ini ke atas teks –teks lain yang bersesuaian.



NUMERASI DALAM PENDIDIKAN KHAS
Numerasi boleh didefinisikan sebagai kebolehan untuk melakukan operasi asas matematik dan memahami idea matematik yang mudah serta mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran matematik dalam kehidupan harian. Dalam konteks kurikulum pendidikan khas, numerasi adalah suatu bentuk literasi numerik yang mana melibatkan keupayaan pelajar khas untuk memberi penaakulan tentang nombor dan aplikasi konsep matematik. Manakala, numerasi awal pula merujuk kepada penguasaan kanak-kanak dalam membuat penaakulan menggunakan konsep matematik.
Menurut kajian yang telah dilakukan, proses pembelajaran matematik adalah berterusan dan tidak boleh dihafal. Sebagai cara untuk meningkatkan kemahiran numerasi, kanak-kanak perlu memanipulasi objek, meneroka konsep matematik dalam persekitaran yang kaya dengan bahan dan berbual secara semula jadi dengan orang dewasa membantu kanak-kanak memperkembang pemikiran tentang matematik.
Dalam numerasi awal, kanak-kanak tidak didedahkan secara terus kepada bentuk nombor dan operasi. Pembelajaran kanak-kanak hanya melibatkan konsep umum, seperti sikit dan banyak, tinggi dan rendah serta jauh dan dekat. Numerasi awal ini lazimnya berlaku pada peringkat tadika dan sekolah rendah (tahap I,II dan III). Setelah menguasai konsep ini, barulah berlaku proses penaakulan tentang matematik melibatkan konsep-konsep matematik yang perlu dikuasai oleh kanak-kanak, iaitu (1) nombor dan operasi, dan (2) geometri dan ruang. Konsep nombor adalah proses kesedaran tentang nombor yang melibatkan keupayaan untuk berfikir dan bekerja dengan nombor, serta memahami penggunaan dan hubungan antara nombor. Manakala konsep operasi pula melibatkan terma matematik formal yang merujuk kepada proses tambah, tolak, dan pembahagian nombor. Melalui konsep ini, kanak-kanak tahu untuk mengaitkan konsep nombor, perbendaharaan kata, kuantiti dan menulis numeral secara bermakna serta tahu mengira nombor dalam lingkungan 10 secara tersusun dan seterusnya. Selain itu, kanak-kanak turut mempelajari cara mengira menggunakan teknik use of one-to-one correspondence (mengenal tertib nombor) dan melakukan pemadanan objek dengan bilangan nombor yang diberikan.

Dalam konsep geometri dan ruang, geometri merujuk kepada kemahiran deskripsi dan klasifikasi yang melibatkan bentuk, saiz, kedudukan, arahan dan peralihan. Manakala konsep ruang pula memberikan kesedaran kepada kanak-kanak tentang perkaitan antara objek, orang lain dan diri mereka sendiri. Kanak-kanak yang belajar tentang geometri dan ruang akan mula untuk mengecam, deskripsi, banding, dan menamakan bentuk, bahagian dan ciri-ciri yang umum di samping berupaya untuk menyambung dan memisahkan bahagian daripada bentuk serta menentukan objek sesuatu bentuk geometri itu memiliki bentuk dan saiz yang sama. Selain itu, kanak-kanak yang belajar tentang geometri dan ruang akan menunjukkan perkembangan dari aspek pemadanan, susus, mengatur dalam bentuk siri serta proses mengumpul.
Komponen matematik memberi pendidikan matematik secara umum kepada semua murid kurang upaya dan menegaskan penggunaan matematik dalam situasi harian dan kerjaya. Komponen ini memberikan asas matematik yang diperlukan untuk mempelajari mata pelajaran lain dan diharap dapat menyediakan pengalaman pembelajan matematik bagi murid-murid memperkembangkan kemahiran amali supaya dapat berdikari. Objektif komponen matematik (Jabatan Pendidikan Khas, 2016) membolehkan murid :
  1. Mengetahui dan memahami konsep nombor.
  2. Menguasai dan mengaplikasikan kemahiran tambah, tolak, darab, dan bahagi
  3. Mengenali bentuk-bentuk asas yang terdapat di dalam alam sekeliling serta ciri-cirinya
  4. Menguasai kemahiran penyelesaian masalah yang melibatkan operasi matematik
  5. Menggunakan pengetahuan dan kemahiran matematik dalam pengurusan kehidupan seharian secara berkesan dan bertanggungjawab
  6. Menguasai kemahiran mengukur dan menggunakan alat-alat asas matematik
  7. Menguasai kemahiran penggunaan wang dalam kehidupan seharian
  8. Mengetahui konsep masa dan waktu

0 comments:

Post a Comment